Wednesday 21 November 2012

TERENGGANU PERKENAL AL-QURAN DIGITAL



Monday, 24 October 2011 07:53 Pena Islam                                                                                                              

KUALA TERENGGANU, 23 Okt - Terenganu kini boleh berbangga apabila satu lagi teknologi baru, Al-Quran Digital diperkenalkan oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi memudahkan pembacaan Al-Quran di kalangan umat Islam.

Buku elektronik yang dilengkapi 30 juzuk Al-Quran itu menggunakan teknologi skrin sesentuh dan suara bagi memudahkan pengguna mendengar setiap bacaan dialunkan.

                                


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, cetakan pertama berjumlah 5,000 naskhah itu menjadikan Terengganu berjaya menambah satu lagi usaha dalam menjadikan masyarakat di negeri ini celik Al-Quran.

Katanya, selain mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), naskhah yang dijual dengan harga RM330 seunit itu didatangkan dengan terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Saya berharap masyarakat hari ini khususnya rakyat negeri Terengganu dapat mengambil peluang memanfaatkan kemudahan ini agar didikan awal Al-Quran dapat diterapkan dalam jiwa mereka," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata Al-Quran Digital merupakan sebuah buku elektronik yang praktikal dan mudah dibawa selain memberi kemudahan kepada pengguna belajar membaca Al-Quran dengan betul.

"Ia sesuai untuk golongan cacat penglihatan dan praktikal untuk pembelajaran kelas Al-Quran di peringkat sekolah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan berusaha mempercepatkan kerja-kerja baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini yang runtuh pada 2 Jun, 2009.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada kajian yang dilakukan oleh pihak berkaitan.

"Sampai masa kita akan baiki, bukan tidak mahu, kalau boleh esok pun kita mahu baiki namun ia memerlukan kajian yang terperinci sebelum dibaik pulih," katanya.

Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan kos RM292 juta di Gong Badak yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh masih belum siap dibaiki. Stadium berkenaan merupakan gelanggang utama Sukan Malaysia 2008. [
BERNAMA]

Sumber : http://alahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=6801:terengganu-perkenal-al-quran-digital&catid=55:al-quran-a-al-hadis

No comments:

Post a Comment