Wednesday 10 October 2012

Semanis Kopi Masin

" Cik, tolong bagi garam"

     Suasana di Cafe Tombirou sunyi seketika. Permintaan Azarul Amir meminta garam untuk kopinya menimbulkan tanda tanya kepada para pelanggan di situ.

     Pelayan itu kaget. Garam hendak letak dalam kopi? Namun, dia segera mendapatkan garam yang diminta, bimbang pelanggannya akan mengamuk.

     "Peliknya citarasa awak" tanya Iman Khaliesah memecah kesunyian yang penuh tanda tanya itu.

     Amir hanya tersenyum sumbing. Rasa tebal mukanya ketika itu kerana menahan malu. Sebenarnya dia mahu meminta gula, dek terlalu cemas dia tersalah cakap kepada pelayan kerana hatinya berdebar, tika kali pertama bersua dengan gadis itu. Oleh sebab mahu menutup malunya, dia masukkan juga garam ke dalam kopinya.

     Amir mengenali Iman melalui teman rapatnya dan ia merupakan pertemuan pertama mereka. Amir telah lama memendam perasaannya terhadap Iman. Dia berharap perkenalan itu akan menghasilkan bunga-bunga cinta.

    "Awak, tak masin ke kopi tu?" ujar Iman pelik melihat tabiat jejaka di hadapannya itu.

    "Er..masin." Amir ligat mencari idea untuk menutup rasa malunya itu.

    "Sebenarnya ketika kecil dahulu saya tinggal bersama atuk dan opah. Rumah kami berdekatan dengan pantai, kehidupan kami begitu susah pada masa itu. Pernah kami tiada duit untuk membeli gula. Kalau opah ingin membuat air kopi dia masukkan garam sebagai penambah perasa. Apabila minum kopi masin, ia mengingatkan saya kepada mereka."

    "Atuk dan opah awak sekarang di mana?"

    "Mereka sudah meninggal dunia." Iman kagum dengan sifat Amir. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah lagi bertemu dengan lelaki yang begitu sentimental.

    "Atuk,opah maafkan Amir." Amir bermonolog sendirian. Rasa bersalah menyelubungi diri kerana membabitkan atuk dan opahnya dalam penipuan untuk menutup malunya.

                               


Kasih Bertaut

     Semenjak pertemuan itu, hubungan Amir dan Iman semakin rapat. Mereka saling bertukar cerita, berkongsi minat dan sering meluangkan masa bersama. Terhasil sudah ikatan kasih seperti yang diimpikan oleh Amir. Selepas setahun mereka menyulam kasih, akhirnya hubungan mereka sah disisi Islam dengan ikatan perkahwinan.

     Pertemuan pertama kali itu membuatkan Iman tidak pernah melupakan kegemaran Amir. Kopi masin sesuatu yang unik. Kerana kesukaan Amir yang pelik itu mereka bersatu. Oleh itu, jika Amir mahu meminum kopi, Iman tidak pernah lupa untuk meletakkan garam dalam kopi tersebut.

     Walaupun Amir dan Iman telah berkahwin, Amir masih tidak menceritakan perkara sebenar kepada Iman. Bukan sahaja kerana ego, tetapi dia juga malu untuk mengaku. Jadi, jika Iman membuat kopi yang masin, Amir tetap akan meminumnya.

     Walau masin macam mana masin sekalipun kopi yang Iman buat, Amir pasti merasai manisnya. Disebabkan kopi masin itulah dia berjaya mendapatkan puteri impiannya.

     Setelah 40 tahun hidup bersama, Amir masih tidak berterus-terang. Akibatnya, dia menghidap penyakit darah tinggi dan sakit jantung di peringkat yang serius. Kadangkala Amir tergelak sendiri kerana penyakit darah tingginya itu berpunca daripada kopi masin yang diminumnya.

Tinggal Kenangan

    "Ibu, ibu menung apa? Dahlah, jangan sedih-sedih lagi. Kita doakan kesejahteraan abah di sana." Tegur Ilham Aiman, anak sulungnya mematikan lamunan Iman. Ilham tahu, ibunya masih mengingati abahnya meskipun sudah lima tahun pemergian arwah bapanya. Ilham ternampak surat di tangan ibunya. Semenjak pemergian abahnya, ibu selalu membaca surat itu. Sedikit sebanyak timbul tanda tanya di benak Ilham.

    "Surat abah ya,bu?"
    "Ha'ah...bacalah."

Ke hadapan isteri yang ku sayangi, Iman Khaliesah.

 Detik bersamamu amat bermakna bagiku. 
Pahit manis kehidupan sama di rasa. 
Kiranya daku pernah menyakitimu, maafkan daku. 
Disini ingin ku akui sepanjang kita hidup bersama, tidak pernah kau ku bohongi.
Cuma satu sahaja...
Kopi masin tidaklah ku gemari.
Tidak pernah kau ku maklumi.
Tidak sampai hati untuk ku tidak mengiakannya dek peristiwa itu ia menyatukan kita berdua. Pernyataan ku hari itu, hanya menutup rasa malu dan perasaan gemuruh ketika pertama kali menatap wajah jelitamu. 
Namun kini, tika warkah ini di tanganmu, ku sudah tiada lagi di sisimu. 
Tidaklah malu untuk ku akui. Maafkan abang kerana berahsia.

Yang menyayangimu,
Suamimu
Azarul Amir.

     Ilham tersenyum. Sayang sungguh abah terhadap ibu. Ketika dia ingin menghirup kopi yang disediakan oleh ibunya itu. Ilham bertanya.
    "Ibu, macam mana rasa kopi masin tu?"

    "Manis sangat".
     Ucap Iman sekali lagi mengimbau kenangan pertemuan kali pertama bersama suami tersayang.


                                             


Cerpen nukilan Siti Syahirah (Majalah Fokus SPM bil. 114 Edisi Januari 2011)

No comments:

Post a Comment