29 Oktober 2012
Oleh KHADIJAH MOHAMAD
NOR
CETUSAN idea pakar
kardiologi antarabangsa, Prof. Michael C.L. Lim dalam menghasilkan alat
pemantau Elektrokardiogram (ECG) yang diintegrasi ke dalam telefon bimbit
secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam sejarah perubatan penyakit
jantung.
Ini kerana gajet yang
dikenali sebagai EPI Life itu membolehkan sesiapa sahaja memeriksa dan merekod
tahap ECG masing-masing ketika merasai simptom berkaitan masalah kardiologi.
Telefon mudah alih
pertama di dunia yang memiliki sistem tersebut telah diperkenalkan oleh
Heartronics Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat teknologi e-kesihatan yang memberi
tumpuan kepada mempromosi dan memperkenalkan ciptaan teknologi terkini dalam
bidang kepakaran tele-perubatan, pemantauan kesihatan jarak jauh dan peralatan
diagnostik mudah alih.
Kesan lebih awal
Ia direka dan
dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pte Ltd (EPI) untuk memberi
perhubungan antara pesakit dan pakar perubatan serta membolehkan pengesanan
awal penyakit jantung.
Pengarah Urusan
Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin berkata, alat yang boleh dimuatkan ke
dalam poket itu dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yag mempunyai sejarah
penyakit jantung atau berisiko mengalaminya.
|
SEBARANG
perubahan denyutan jantung anda kini boleh direkodkan dalam telefon bimbit.
|
“Melalui pengesanan
awal, rakyat Malaysia boleh mendapatkan nasihat perubatan serta-merta sebelum
keadaan menjadi bertambah serius atau berlaku kes kematian mengejut akibat
serangan jantung.
“Orang ramai perlu
berwaspada kerana penyebab utama kematian jantung secara mengejut adalah
disebabkan ia tidak dikesan. Akibatnya pesakit tidak berusaha mendapatkan
rawatan. Justeru, pengambilan ECG merupakan cara terbaik untuk mengesan
arrhythmia (denyutan jantung abnormal) kerana ia mengukur aktiviti elektrikal
jantung dengan tepat,” jelas beliau sewaktu pelancaran EPI Life di Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Setelah mendaftar untuk
perkhidmatan ECG EPI Life, pengguna akan dihubungkan secara automatik ke Pusat
Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari. Apabila mengalami simptom
seperti loya, sesak nafas, rasa pening, mengalami debaran jantung atau sakit
dada, pengguna boleh mengambil ECG melalui EPI Life.
Ia boleh dilakukan
dengan cara memegang telefon tersebut menggunakan tiga jari yang disentuh pada
bahagian sensor. Tahap ECG kemudian akan dihantar ke pusat melalui GPRS.
Pusat tersebut yang
diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi kardiologi akan menganalisis
bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian dalam bentuk khidmat pesanan
ringkas (SMS) dalam tempoh beberapa minit.
Sementara itu, Michael
menyatakan, EPI Life direka dan dibangunkan bukan sahaja untuk kemudahan dan
keselamatan pesakit jantung, tetapi juga bagi mereka yang tergolong dalam
kumpulan berisiko tinggi serta mereka yang ingin mengurus kesihatan dengan
lebih baik.
PENGARAH
Urusan Heartronics, Jean Michel Mougin (dua dari kiri) bersama David (dua dari
kanan) dan Micheal (kanan) menunjukkan telefon bimbit ECG pada pelancaran
telefon bimbit ECG untuk mengesan penyakit jantung.
“Alat ini amat praktikal
untuk merekod denyutan jantung pada bila-bila masa dan di mana jua. Lebih-lebih
lagi sekiranya mereka berasa tidak selesa atau mengalami simptom yang mungkin
menandakan masalah jantung,” kata beliau sambil memberitahu konsep produk itu
sudah dibangunkan sejak tahun 1990.
Tambahnya, data ECG yang
dirakam dengan EPI Life menunjukkan 98 peratus hubung kait dengan 12 Lead-ECG
standard. Ia berdasarkan kajian klinikal yang dijalan dan disiarkan dalam
jurnal Jantung Eropah.
Untuk setiap bacaan ECG,
ia akan direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya
khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pakar
Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. David Quek melahirkan rasa
gembira apabila HPKL dipilih EPI Life untuk hospital rujukan.
“Dengan adanya Pusat
Jantung Pantai sebagai salah sebuah daripada Pusat Kecemerlangan Bersepadu yang
menawarkan perkhidmatan rawatan jantung komprehensif, saya percaya hospital ini
mampu membekalkan perkhidmatan yang diperlukan oleh pesakit yang dirujuk,”
tuturnya.
Mengulas lebih lanjut,
beliau berkata simptom tidak selesa kadangkala berlaku sekejap sahaja dan tidak
tetap. Justeru, kebanyakan orang tidak perasan pun apa yang dialami mungkin
masalah jantung.
“Dalam kebanyakan kes,
pesakit biasanya hanya merujuk kepada doktor atau pergi ke hospital setelah
simptom reda.
“Pada ketika itu, doktor
akan menghadapi masalah mengenal pasti keadaan yang tidak teratur ini atau
memberikan diagnosis tepat kerana bacaan denyutan pesakit mungkin sudah kembali
normal. Maka, di sinilah fungsi EPI Life boleh digunakan untuk merekod tahap
kesihatan jantung anda,” ungkapnya.
Pelancaran EPI Life
telah dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr.
Balachandran Setiamurthi yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin.
Dalam ucapannya, beliau
memaklumkan bahawa penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di
Malaysia.
“Faktor lain seperti
diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti yang dikaitkan dengan penyakit
jantung juga sedang meningkat. Oleh itu masyarakat perlu lebih proaktif dalam
menjaga kesihatan jantung walaupun merasakan diri sudah sihat dan cergas.
“Dengan cara itu, rakyat
dan kerajaan akan dapat mengurus kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat
dengan lebih baik terutamanya apabila keadaan tidak teratur itu dapat dikesan serta
dirawat dari peringkat awal,” kata Balachandran.
Sumber : Akhbar KOSMO!